‘Bunga’ 20 peratus seminggu, 7 along didakwa
Oleh – Syeikh Baran
Tujuh ahli sindiket along didenda antara RM2,000 hingga RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, bulan lalu.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Gabriel Ng Jia Rong, 29; Lai Kok Peng, 48; Chong Kok Wei, 22; Mah Chung Ming, 18; Pang Xuan Yi, 18; Celine Tan Yan Yi, 18, dan Tan Wui Hong, 52, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati telah menjadi pihak kepada suatu pakatan jahat jenayah untuk melakukan kesalahan iaitu memberi pinjaman wang tanpa lesen.
Sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau keduanya sekali mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400).
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh ditahan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sebuah kondominium mewah dalam Op Vulture pada 25 Jun lalu.
Sindiket tersebut menyasarkan pelanggan sekitar Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor dengan tawaran pinjaman antara RM500 dan RM5,000 serta mengenakan faedah sehingga 20 peratus seminggu.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan kerana kesemua tertuduh bersubahat bekerja sebagai along tidak berdaftar.
Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili kesemua tertuduh merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya telah insaf dan hanya berpendapatan antara RM1,500 dan RM2,000 sebulan.