Sembunyi syabu dalam timbunan tanah

Oleh – Syeikh Baran


Sembunyi syabu dalam timbunan tanah
Hussein (dua kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. – Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Sembunyi dadah dalam guni timbunan tanah dan hantar menggunakan khidmat kurier antara modus operandi yang berjaya dibongkar pihak polis baru-baru ini.

Dalam serbuan lima hari bermula 27 Jun lalu, polis memberkas empat suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 34 hingga 48 tahun yang bertindak sebagai transporter.



Turut dirampas pelbagai jenis dadah seperti syabu, heroin dan ganja dengan berat keseluruhan 88.2 kilogram bernilai RM1.97 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati kesemua transporter itu menerima bayaran serendah RM51 hingga RM1,000 daripada sindiket pengedaran dadah.

Mereka ditahan menerusi serbuan di sekitar Puchong Jaya, Ampang dan Sungai Buloh.

“Terdapat dalam kalangan transporter itu bekerja sebagai penghantar barang.

“Mereka menggunakan lori untuk menghantar tujuh guni plastik tanah yang disembunyikan 56 bungkusan teh cina berisi syabu seberat 57.6 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.



Menurut beliau, siasatan awal mendapati penghantaran dadah itu adalah kali pertama dilakukan pasangan tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap pasangan suami isteri itu. Mereka diarahkan mengambil dadah itu dari Serdang Jaya ke Puchong Jaya berdasarkan aplikasi kurier,” katanya.

Hussein menjelaskan, dua lagi transporter termasuk tukang masak pula didapati aktif melakukan jenayah tersebut sejak enam bulan lalu.

“Kesemua dadah yang dibawa suspek-suspek tersebut adalah bagi pasaran sekitar Lembah Klang.

“Mereka daripada tiga sindiket berbeza dengan bekalan dadah diperoleh dari negara di utara Semenanjung Malaysia,” katanya.



Ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah tetra hydrocannibol (THC) dan mempunyai rekod kes jenayah dan dadah.

“Mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber – KOSMO!ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button