Rugi RM1.6 juta tertipu pelaburan Kripto
Oleh – Syeikh Baran
Gara-gara terpengaruh dengan iklan pelaburan mata wang Kripto di media sosial, seorang wanita kerugian RM1.6 juta akibat ditipu sebuah sindiket penipuan.
Mangsa berusia 49 tahun yang meminjam wang keluarga selain menjual beberapa aset miliknya untuk membuat pelaburan berkenaan membuat laporan berhubung penipuan tersebut di Balai Polis Dungun semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, wanita itu mendakwa tertarik dengan pelaburan mata wang Kripto terbabit setelah membaca berita kejayaan kewangan seorang lelaki di laman web berbahasa Cina pada Disember tahun lalu.
“Mangsa kemudiannya mengisi borang menerusi laman web berkaitan sebelum dihubungi seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp.
“Dia seterusnya dijemput wanita tersebut untuk memasuki sebuah kumpulan WhatsApp berkaitan urus niaga saham,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, wanita itu kemudiannya dijemput pula memasuki sebuah lagi kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan Kripto pada bulan Mac lalu.
Tambah beliau, mangsa yang dibantu beberapa individu untuk membuat pelaburan mata wang Kripto telah membuat pindahan wang ke dalam akaun bank diberikan antara 14 Mac hingga 28 Jun lalu.
“Berdasarkan pelaburan dilakukannya, mangsa mendakwa dijanjikan pulangan pelaburan anggaran RM90 juta tetapi menyedari tertipu apabila panggilan dan perbualan mesejnya disekat,”katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE