Gagal isytihar harta: Daim mohon kes didengar hakim lain

Oleh – Syeikh Baran


Gagal isytihar harta: Daim mohon kes didengar hakim lain
Daim

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 9 Ogos untuk mendengar permohonan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin supaya kes gagal mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah yang dihadapinya didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen lain di sini.

Hakim Azrul Darus menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Fadhly Mohd Zamry memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan berhubung permohonan pemindahan kes yang difailkan Daim pada 7 Mei lalu.



“Saya memohon supaya tarikh pendengaran permohonan itu pada 9 Ogos ini,” katanya.

Mohamad Fadhly berkata, afidavit balasan responden (pendakwaan) difailkan pada 23 Mei lalu manakala afidavit jawapan pemohon (Daim) pada 30 Mei lalu.

Sementara itu, peguam M Puravelan yang mewakili Daim memohon supaya kehadiran anak guamnya dikecualikan pada 9 Ogos itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan peguam itu dan memohon supaya Daim hadir untuk prosiding pendengaran itu.



Azrul kemudian memerintahkan supaya kehadiran Daim pada 9 Ogos tidak dikecualikan.

Daim memfailkan permohonan untuk memindahkan kes pada 7 Mei lalu atas alasan antaranya terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya kerana kes isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid juga didengar di hadapan hakim sama (Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi).

Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Na’imah, 66, pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.



Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button