Pemimpin Belarus bebaskan tahanan politik
Oleh – Syeikh Baran
Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, bertindak membebaskan sekurang-kurangnya 10 tahanan politik, termasuk seorang tokoh pembangkang veteran yang menghidap kanser.
Menurut kumpulan pejuang hak asasi manusia, Viasna, mereka yang dibebaskan termasuk tiga tahanan politik wanita.
“Beliau ditahan pada 2021 dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada tahun berikutnya, selepas didapati bersalah melakukan perancangan menentang kerajaan untuk merampas kuasa.
“Ketika menjalani hukuman penjara, beliau disahkan menghidap kanser,” katanya.
Kebanyakan tahanan politik diberkas polis ketika himpunan aman pada 2020 atas pelbagai pertuduhan yang dikaitkan dengan ekstremisme.
Sehingga kini, kira-kira 1,400 lagi tahanan politik masih berada di balik tirai besi.
Lukashenko yang juga sekutu rapat Presiden Russia, Vladimir Putin, minggu ini mengumumkan pengampunan sempena ulang tahun ke-80 pembebasan Belarus daripada Nazi dalam Perang Dunia Kedua. Berdasarkan laporan agensi berita Belta, pengampunan itu dijangka terpakai kepada kira-kira 7,850 banduan termasuk mereka yang di bawah usia, wanita hamil, pesara dan penghidap batuk kering atau kanser.
Menurutnya, pembebasan itu bagaimanapun tidak termaktub buat mereka yang disabitkan dengan jenayah terhadap negara atau aktiviti keganasan.
“Namun, Lukashenko memberi isyarat akan menimbangkan beberapa pengecualian bagi mereka yang sakit tenat,” katanya.
Lukashenko, yang berkuasa sejak 1994, menguatkuasakan tindakan tegas pada 2020 dengan menyekat protes besar-besaran selepas pembangkang mendakwa pilihan raya negara itu tidak telus.
Sumber – BERITA HARIAN