Anugerah Khas Maal Hijrah inspirasi untuk pelajar Orang Asli

Oleh – Syeikh Baran


Anugerah Khas Maal Hijrah inspirasi untuk pelajar Orang Asli
FIFI Nurfatin bersama plak dan sijil yang diterima untuk Anugerah Khas pada Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Perak di Ipoh hari ini.

Berkat kecemerlangan memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar Orang Asli, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan, 18, dipilih menerima Anugerah Khas pada Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Pe­rak hari ini.

Lebih menggembirakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Tapah itu apabila anugerah tersebut disampaikan sendiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.



Fifi Nurfatin dari suku kaum Semai itu merupakan satu-satu­nya pelajar Orang Asli di Perak yang meraih semua A dalam mata pelajaran daripada keseluruhan 543 calon Orang Asli yang menduduki SPM tahun lalu.

Anak pasangan Marjaidi Hirwan Sinak, 40, dan Noorhayati Alang, 40, itu memperoleh A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik dan A bagi Bahasa Inggeris, Fizik dan Kimia manakala A- bagi subjek Matematik Tambahan dan Biologi.

Menurut Fifi Nurfatin, dia bersyukur dengan anugerah yang diterimanya itu walaupun mengakui terkejut apabila dihubungi wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk memaklumkan perkara berkenaan.

“Saya sangat bersyukur menerima anugerah daripada Sultan Nazrin dan tidak sangka saya boleh pergi sejauh ini.



“Malah, ketika disapa Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pun saya rasa tidak percaya. Baginda bertanyakan hala tuju saya selepas ini dan saya menjawab mahu menjadi seorang guru,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia berharap anugerah yang diterimanya itu dapat dijadikan inspirasi kepada pelajar Orang Asli lain untuk belajar bersungguh-sungguh sekali gus melakar kejayaan serupa.

“Saya percaya, bukan saya seorang sahaja pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan 9A, cuma di Perak saya adalah wakilnya.

“Saya berharap cita-cita saya untuk menjadi guru akan tercapai suatu hari nanti supaya saya boleh berikan semula sumbangan kepada orang ramai terutama masyarakat Orang Asli,” ujarnya.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button