Tugas ‘terakhir’ hantar pesakit ke HUKM
Oleh – Syeikh Baran
Seorang penolong pegawai perubatan wanita berumur 30 tahun maut dalam nahas melibatkan sebuah ambulans swasta dengan sebuah treler dalam kejadian di Kilometer (KM) 330.8 Lebuh Raya Utara – Selatan arah utara di sini pada pukul 4.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd. Naim Asmawi berkata, siasatan awal mendapati ambulans dipandu oleh seorang lelaki berumur 41 tahun bersama seorang penolong pegawai perubatan wanita telah melanggar bahagian belakang sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berumur 32 tahun di lorong kiri lebuh raya tersebut.
“Semasa kejadian, ambulans tersebut dalam perjalanan balik dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras ke Ipoh setelah selesai menghantar pesakit manakala treler tersebut pula dalam perjalanan dari Klang menuju ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghantar barangan.
Katanya lagi, pihak bomba yang berada di lokasi kejadian telah membantu mengeluarkan mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Tapah bagi tujuan bedah siasat.
Ujarnya, pemandu ambulans hanya mengalami kecederaan ringan sementara pemandu treler tidak cedera.
Sumber – KOSMO! ONLINE