Bos campak makanan, berang staf tidak ikut arahan
Oleh – Syeikh Baran
Seorang majikan bertindak di luar kawalan apabila sanggup membuang dan mencampak makanan gara-gara pekerjanya yang didakwa tidak mendengar arahan.
Menerusi sebuah video berdurasi satu minit yang tular di media sosial sejak semalam, kejadian tersebut difahamkan berlaku di premis terletak di sekitar bangunan pejabat Kuala Lumpur.
Di awal video, pada mulanya majikan itu bertanyakan kepada pekerjanya mengapa jumlah makanan dimasak secara banyak sedangkan dirinya telah pun memberi arahan yang sama beberapa kali.
Oleh kerana berang, majikan yang dipercayai berloghat Penang tersebut kemudiannya mencampakkan makanan-makanan yang telah disediakan di dalam dulang katering ke atas lantai.
“Aku cakap berapa kali dah, buat jangan banyak. Kejap lagi dah pukul 10, makanan buat lain. Berapa kali dah aku cakap?
“Aku cakap dengan mulut, jangan buat makanan banyak-banyak. Kita nak bagi orang makan sedap.
“Benda tak habis, siapa yang kena tempias? Roti canai keras apa semua, siapa yang menanggung? Aku yang kena semua. ‘Hampa’ tak ada kena apa, ‘hampa’ tak ada rugi apa pun,” tengkingnya di dalam video itu.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 1.8 juta, 1,900 ulang ciap dan 4,800 tanda suka.
Video itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial sehinggakan ada yang mengecam tindakan majikan tersebut kerana sanggup membazir makanan.
“Staf tak mengikut arahan tu memang lah salah, tapi tak perlu sampai nak kena baling makanan tu kot rasanya,” komen Beck.
“Marah pun jangan sampai membuang rezeki. Kan lebih baik tak habis sedekahkan pada yang memerlukan. Sayangnya makanan tu buang macam tu,” komen Hadri.
Bagaimanapun, ramai juga menyebelahi pihak majikan kerana faham rasa tertekan
serta beban tanggungjawab yang perku digalas kerana perlu berdepan kerugian kos.
“Bos geram, bagi arahan tak nak ikut. Lepas tu bila bos marah melenting, kau kata dia salah pula. Jenis tak dengar arahan ni tak payahlah kerja. Pergi buat bisnes sendiri,” komen Farhan.
“Yang keje industri ‘food and beverages’ mesti faham. Tak kira apa jenis makanan, kau kena dengar dan tengok apa pengurus suruh. Semua tu modal dan kalau tak habis akan jadi pembaziran,” kata seorang pengguna lain pula.
Sumber – KOSMO! ONLINE