Wanita ditahan kes buli Esha di TikTok

Oleh – Syeikh Baran


Wanita ditahan kes buli Esha di TikTok
Mendiang Esha ketika sering memuat naik video dan membuat siaran langsung menerusi akaun TikToknya.

Polis menahan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes melakukan ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap pempengaruh, Rajeswary Appahu, 30, atau Esha.

Wanita tersebut ditahan di Rawang, Selangor awal pagi tadi.



Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 39 tahun berhubung ugutan itu yang dibuat terhadap mangsa di TikTok.

Katanya, siasatan polis mendapati pengadu melihat dua hantaran berhubung fitnah dan ugutan terhadap Esha pada 30 Jun lalu.

“Kedua-dua akaun TikTok itu menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing.

“Kandungan itu juga didapati mempunyai unsur ugutan dan ancaman kepada Rajeswary (Esha) dan menggunakan kata-kata kesat serta lucah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Jelas beliau, semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada polis namun disyaki sudah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun tersebut.

Tambah Ahmad Sukarno, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

“Pada pukul 1.45 pagi tadi, seorang wanita tempatan berusia 35 tahun ditahan di Rawang dipercayai terlibat dalam kes ini.

“Suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sehingga Rabu untuk membantu siasatan,” katanya.



Ahmad Sukarno menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik artikel atau kandungan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Kumaran Krishnan di talian 010-9093726 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul 03-40482222.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button