Polis kesan lelaki pakai baju logo PDRM letak kenderaan di kawasan larangan

Oleh – Syeikh Baran


Polis kesan lelaki pakai baju logo PDRM letak kenderaan di kawasan larangan
Lelaki yang memakai pakaian berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kejadian Jalan PJU 8/8, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Rabu lalu.

Polis sedang giat mengesan pemandu kereta yang memakai pakaian tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika meletakkan kenderaan didakwa di tempat larangan dalam kejadian di Jalan PJU 8/8, Damansara Perdana, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya terkesan sebuah hantaran di media sosial bertajuk ‘my kids will never respect the police’ sekitar pukul 10 malam, semalam.



Katanya, hantaran yang disertakan dua gambar dan satu video berdurasi 13 saat memaparkan seorang lelaki memakai baju tertera logo PDRM didakwa meletakkan kenderaan di kawasan larangan.

“Maklumat awal mendapati bahawa insiden tersebut berlaku pada Rabu lalu sekitar pukul 8.30 pagi apabila sebuah kereta jenis Volkswagen Polo Hatchback sedang menurunkan isterinya yang bekerja di bangunan Empire telah dimarahi seorang pengguna jalan raya yang lain.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan bukan seorang pegawai polis dan baju yang dipakai diperoleh semasa mengkuti satu acara Fun Ride anjuran PDRM di Shah Alam, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sedang giat mengesan pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian ini.

Tambah Shahrulnizam, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menghubungi balai berdekatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-l7378704.



“Pihak polis ingin mengingatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta memohon pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Tegas Shahrulnizam, orang awam dinasihatkan supaya tidak terus melulu menuduh dan fitnah mana-mana pihak terutama pihak penguat kuasa undang-undang tanpa sebarang keterangan yang sahih.

“Mana-mana individu yang sengaja mengeluarkan apa-apa kenyataan fitnah boleh dituduh di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.
 
Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button