Bekas penyewa tinggalkan bom mortar sebelum pindah keluar

Oleh – Syeikh Baran


Bekas penyewa tinggalkan bom mortar sebelum pindah keluar
Bom mortal yang ditemukan di dalam rumah sewa di Taman Bukit Tembakau, Merlimau, Melaka, kelmarin.

Seorang wanita terkejut apabila sebutir objek menyerupai bom mortar 60 milimiter (mm) yang digunakan untuk latihan ditemukan di dalam rumah disewakannya di Taman Bukit Tembakau, Merlimau, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan itu pada pukul 7.58 malam selepas pemilik kediaman berusia 65 tahun itu memaklumkan jirannya menjumpai bom ketika membantu mengemas premis berkenaan.



“Makluman awal telah di maklumkan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Jasin, Pegawai Penyiasat jenayah dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk mengambil tindakan.

“Pada pukul 8.45 malam cawangan UPB IPK telah mengesahkan objek berkenaan adalah jenis mortar 60mm practice inert yang digunakan untuk latihan, ukuran panjang 300 mm dan diameter 60 mm serta disahkan tiada mengandungi bahan letupan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, mengikut keterangan dibuat pemilik rumah, kediaman teres satu tingkat itu sebelum ini telah disewakan kepada seorang penyewa lelaki sejak 2022 sehingga individu terbabit berpindah keluar pada Januari 2024.

“Selepas dia berpindah keluar pemilik rumah tidak lagi berhubung dengannya dan rumah itu tidak berpenghuni selama tujuh bulan.



“Pemilik kemudian telah meminta jirannya berusia 30-an membantu mengemas barangan peribadi milik bekas penyewa yang ditinggalkan di dalam rumah tersebut pada Sabtu lalu dan ketika itulah objek itu dijumpai,” ujarnya.

Ahmad Jamil berkata, bom tersebut telah diambil oleh pasukan UPB dan dibawa ke IPK Melaka untuk tindakan pelupusan dan pihak polis kini sedang mengesan bekas penyewa terbabit bagi membantu siasatan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button