Dua cucu gembira dapat jajan sebelum mulut berbuih

Oleh – Syeikh Baran


Dua cucu gembira dapat jajan sebelum mulut berbuih
Muhammad Nazar di samping isterinya, Saadiah menunjukkan gambar Muhammad Luth ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Padang Ubi di Labu Besar, Kulim hari ini.

Seorang nenek tidak menyangka kegembiraan dua cucu lelaki membawa pulang dua bungkus makanan ringan berakhir dengan mimpi ngeri apabila dua kanak-kanak itu kritikal selepas termakan jajan bercampur racun tikus semalam.

Kejadian disedari selepas Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, dilihat dalam keadaan mulut berbuih dan muntah atas katil rumah mereka di Kampung Padang Ubi di Labu Besar, di sini.



Ibu mangsa, Nurain Hasnorizal, 25, menyedari perkara itu pada pukul 11 pagi sebelum dua anak kanak-kanak tersebut dikejarkan ke Klinik Kesihatan Malau dengan bantuan jiran setengah jam kemudian seterusnya dirujuk ke Hospital Kulim.

Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan dalam keadaan kritikal dengan terpaksa bergantung kepada mesin pernafasan.

Makanan ringan itu dicampur racun berikutan ancaman monyet yang memusnahkan tanaman penduduk di situ.

Menurut nenek mangsa, Saadiah Yaacob, 62, sebelum kejadian, dua cucu kesayangannya itu mengikut suaminya, Muhammad Nazar Abdullah, 53, ke kebun berhampiran untuk mencari lembu ternakan.

“Walau bagaimanapun, dua cucu saya pulang ke rumah selepas datuk (suami) tidak benarkan mereka ikut. Semasa sampai di rumah, saya nampak mereka riang sambil memegang keropok.



“Saya ingat ada orang bagi makanan ringan itu kepada cucu. Saya tidak sempat tengok cucu makan keropok kerana keluar ke kebun,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Cerita warga emas tersebut, dia hanya mengetahui kejadian menimpa dua cucunya selepas dimaklumkan oleh seorang jiran.

“Saya bergegas pulang dan mendapati cucu sudah dibawa ke hospital. Dua bungkusan keropok yang diikat guna tali dalam keadaan terbuka berada di lantai di tengah rumah.

“Saya nampak ada tiga keping keropok lagi dalam setiap bungkusan. Sungguh saya tidak menyangka cucu makan keropok yang dicampur racun,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button