Hilang sabar bunyi ekzos, 4 beradik didakwa pukul lelaki sampai parah

Oleh – Syeikh Baran


Hilang sabar bunyi ekzos, 4 beradik didakwa pukul lelaki sampai parah
KESEMUA tertuduh mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. – Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

Lima orang termasuk empat beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul seorang lelaki sehingga parah dalam pergaduhan yang berpunca daripada bunyi bising ekzos motosikal, tahun lalu.

Tertuduh, Azalan Shah, 41, Adanan Shah, 42, Amranshah Makbolshah, 45, Amir Shah, 53, dan Azlan Ahmad, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.



Kesemua tertuduh didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Azlanee Mamat, 53, pada pukul 8.30 malam di hadapan medan selera Pantai Peringgit di sini 13 Jun 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, motosikal itu ditunggang anak mangsa dan pergaduhan tercetus selepas ekzos kenderaan tersebut dikatakan terlalu bising.

Terdahulu,  Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh.



Peguam, Zahidah Md. Zaman bagaimanapun merayu jaminan yang rendah diberikan dengan alasan jumlah dicadangkan adalah di luar kemampuan anak guamnya. Ada antara mereka bergelar asnaf, selain berniaga burger.

Tambahnya, tertuduh hanya mampu menyediakan wang jaminan RM1,000, malah khidmat guaman yang ditawarkan juga adalah percuma.

Khairunnisak membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,500 dan menetapkan tarikh 22 Ogos ini untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button