‘Rambo Bentong’ membebel kekal ke tali gantung

Oleh – Syeikh Baran


‘Rambo Bentong’ membebel kekal ke tali gantung
Rambo Bentong.

Perogol bersiri yang dikenali sebagai “Rambo Bentong” kekal ke tali gantung oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini atas dua kesalahan membunuh pada tahun 2009 dan 2012 yang lalu.

Semakan hukuman hukuman mati yang pertama ialah atas sabitan kerana membunuh seorang gadis berusia 17 tahun yang mayatnya ditemukan dengan kesan tetakan di leher pada 2009.



Sementara semakan hukuman mati kedua ialah membunuh seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong pada 2012.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak permohonan Rabidin Satir, 53, selaku pemohon bagi semakan mengetepikan dua hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Sejurus keputusan dibuat, Rabidin yang dibawa ke mahkamah dengan berkerusi roda dilihat “membebel” dalam bahasa Inggeris namun tutur katanya tidak jelas sebelum dibawa kakitangan penjara masuk ke lokap mahkamah.



Terdahulu, bagi kes membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim membantah permohonan semakan Rabidin atas alasan kes itu dikategorikan sebagai `yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

Naratif pendakwaan menyatakan, pasangan suami isteri itu yang sedang tidur di ruang tamu dikejutkan dengan kehadiran lelaki bertopeng yang kemudian menghentak kepala kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong itu berkali-kali dengan bahagian belakang pistol.

“Hentakan kepala itu menyebabkan tempurung kepala retak dan otaknya hancur manakala isteri mangsa yang sedang mengandung malah dirogol dua kali sebelum dirompak.

“Pendakwaan berpendirian trend kes seperti ini belum pernah berlaku yang mana suami dibunuh manakala isteri dirogol,” hujah Yusaini Amer.



Rabidin malah menggeledah rumah berkenaan sebelum bertanyakan sama ada pasangan itu menyimpan senjata api sebelum bertindak memukul lagi lelaki berkenaan beberapa kali.

Pada prosiding itu, peguam Muhammad Fairuz Ahmad Yusof memohon semakan dibenarkan atas alasan perlakuan anak guamnya tidak seganas mana berbanding perbuatan melibatkan seksaan dan kecederaan berganda.

Pada 16 Ogos 2018, Rabidin gagal dalam rayuannya untuk membatalkan hukuman mati kerana membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong itu di Perumahan Jabatan Perhutanan di Jalan Tras, Bentong, Pahang, di antara pukul 3.50 pagi dan 4.30 pagi pada 3 November 2012.

Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman sama selepas menolak rayuannya.



Pada 2014, Rabidin dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh kerana membunuh seorang remaja perempuan di sebuah rumah di Kampung Ketari Bentong, Pahang pada 2009.

Rabidin juga dituduh merogol gadis itu tetapi Mahkamah Tinggi membebaskannya kerana tidak dapat dipastikan sama ada rogol dilakukan ketika mangsa masih hidup atau selepas kematiannya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button