Bapa didakwa ‘makan anak’

Oleh – Syeikh Baran


Bapa didakwa ‘makan anak’
Anggota polis membawa seorang peniaga (dua dari kanan), anak lelaki (berbaju oren) dan rakannya untuk didakwa atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. – Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Seorang bapa didakwa berpakat dengan anak dan rakan anak lelakinya itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun dalam kejadian di Bachok dekat sini pada awal tahun ini.

Peniaga berusia 46 tahun, anak kandung dan rakannya masing-masing berusia 22 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.



Mengikut dua pertuduhan, tertuduh yang berusia 46 tahun didakwa merogol anak tirinya berusia 12 tahun tanpa kerelaan apabila hubungan tersebut tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama kerana mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bachok dekat sini pada waktu petang awal tahun ini dan pada 18 Mei hingga 22 Mei lalu.

Tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dua lelaki masing-masing berusia 22 tahun didakwa merogol mangsa sama tanpa kerelaannya apabila perbuatan itu dibuat di hadapan orang lain iaitu tertuduh pertama.



Perbuatan keji itu dilakukan oleh mereka di lokasi yang sama pada awal tahun ini.

Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dkendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala dua beranak itu diwakili peguam, Nur Sarah Syamimi Safie dan tertuduh ketiga pula diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh memandangkan kes yang dihadapi mereka serius dan jenayah melibatkan kanak-kanak.



Nur Sarah Syamimi dalam rayuannya memohon jaminan bagi kedua-dua anak guamnya memandangkan kes itu merupakan kesalahan pertama dilakukan oleh dua beranak itu selain mereka sudah berjanji tidak akan mengganggu mangsa.

Zuhaidie Akmal juga memohon anak guamnya diberi jaminan memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai buruh dan tinggal berasingan dengan mangsa.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh pertama dan kedua diikat jamin manakala tertuduh ketiga dengan jaminan RM15,000 termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport dan hadir di balai polis terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes.



Tertuduh ketiga membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button