Pemandu pikap lalok dadah langgar dua kenderaan di HKL

Oleh – Syeikh Baran


Pemandu pikap lalok dadah langgar dua kenderaan di HKL
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di pintu masuk hadapan Hospital Tunku Azizah, Khamis lalu.

Seorang pemandu pikap disyaki di bawah pengaruh dadah ditahan polis selepas melanggar dua kenderaan di pintu masuk hadapan Hospital Tunku Azizah, di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Saleh berkata, kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang.



“Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta Perodua Bezza dan sebuah lagi kenderaan jenis sama dilanggar secara tiba-tiba dari arah belakang oleh suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda.

“Suspek bersama pemandu yang terlibat mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, hasil pemeriksaan saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine (syabu), ketamin dan benzo (Nimetazepam).

Sehubungan itu, katanya, suspek telah dituduh di Mahkamah Trafik, Jalan Duta di sini di bawah Seksyen 44 (1A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah, Jumaat lalu.



Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,000 serta dua orang penjamin.

“Tertuduh dikehendaki melaporkan diri sebanyak dua kali sebulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai,” jelasnya.

Terdahulu, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan dua kenderaan dilanggar sebuah pikap di dalam pekarangan HKL.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button