JKDM Sarawak lumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar

Oleh – Syeikh Baran


JKDM Sarawak lumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar
Norizan (tengah) bersama-sama pegawai JKDM Sarawak yang lain menunjukkan rampasan syabu pada sidang media di ibu pejabat JKDM Sarawak di sini, hari ini.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar apabila merampas lebih 60 kilogram (kg) syabu yang diseludup masuk menggunakan kiriman kargo udara dari Kuala Lumpur.

Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, rampasan bernilai lebih RM1.9 juta itu dilakukan pukul 3.50 petang, 4 Julai lalu hasil penahanan ke atas dua lelaki tempatan di pekarangan sebuah syarikat kargo.



“Terdapat 10 buah kotak disimpan di dalam lori dan pemeriksaan di dalamnya membawa kepada penemuan 60 peket ketulan kristal disyaki methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak hari ini.

Suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo udara antara wilayah dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Sindiket membuat pengikraran palsu pada Borang Kastam No. 3 iaitu menyembunyikan bahan narkotik bersama barangan rumah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.



Rampasan itu adalah yang terbesar di Sarawak setakat tahun ini, mengatasi tangkapan di Miri Jun lalu melibatkan ketamin seberat 49 kg.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button