Polis lepaskan tembakan selepas kejar pemandu van

Oleh – Syeikh Baran


Polis lepaskan tembakan selepas kejar pemandu van
Pemandu van ditahan selepas bertindak melarikan diri sehingga 5 km di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas pagi tadi.

Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar depan sebuah van yang dipandu seorang lelaki selepas cuba melanggar anggota pasukan itu di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi, suspek lelaki tempatan berusia 36 tahun yang juga pemandu van tersebut berjaya ditahan setelah melarikan diri kira-kira 5 kilometer dari lokasi kejadian.



Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, sepasukan polis trafik yang sedang menjalankan Op Perdagangan di Jalan Tun Dr. Lim Chong Eu mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahan kenderaan tersebut.

“Anggota polis seterusnya bertindak mengejar van tersebut sehingga ke Jalan Datuk Ismail Hashim.

“Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar depan kenderaan itu selepas pemandunya cuba melanggar anggota polis sebelum van berkenaan terbabas di bahu jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemandu van tersebut.



“Pemeriksaan awal mendapati, suspek tiada lesen memandu selain mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Dalam kejadian itu juga, turut berlaku beberapa kemalangan membabitkan van yang dipandu dengan kenderaan lain yang diparkir di tepi jalan,” katanya.

Kamarul Rizal berkata, ujian air kencing terhadap lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine termasuk mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button