AGC tolak representasi Isham Jalil

Oleh – Syeikh Baran


AGC tolak representasi Isham Jalil
Isham Jalil.

Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil yang didakwa menghina mahkamah berhubung kenyataan mengenai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Representasi itu berhubung permohonan maaf terbuka Isham kepada badan kehakiman.



Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Mustaffa P Kunyalam ketika sebutan kes hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

”Representasi dikemukakan pemohon (Isham) ditolak oleh AGC. Kami mohon untuk mahkamah menetapkan tarikh pendengaran kes,” kata Mohamad Mustaffa.

Sebelum ini, representasi itu dihantar kepada AGC pada 25 Mac lepas berkaitan permohonan maaf secara terbuka yang akan dibuat Isham terhadap badan kehakiman.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun mewakili Isham.

Pada 4 Mac lalu, mahkamah membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham.



Peguam Negara dalam permohonan yang difailkan pada 28 Disember tahun lepas, turut memohon agar mahkamah memenjara atau mengenakan hukuman denda terhadap Isham.

Permohonan itu difailkan atas alasan Isham telah mengucapkan kata-kata berbentuk penghinaan kepada mahkamah dalam satu temu bual bertajuk Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa? yang disiarkan di laman Facebook The Malaya Post pada 30 September tahun lepas.

Peguam Negara mendakwa dalam temu bual itu, Isham telah mempersoal proses perbicaraan dan rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan syarikat SRC International serta 1MDB.

Isham turut didakwa mempertikai proses pendengaran permohonan penarikan diri Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini serta proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International.

Peguam Negara juga mendakwa perkataan yang diucapkan oleh Isham telah mengaibkan Badan Kehakiman dan boleh menggugat keyakinan orang awam terhadap institusi itu.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button