Duit melabur RM126,490 pakej bilik hotel melayang

Oleh – Syeikh Baran


Duit melabur RM126,490 pakej bilik hotel melayang
Gambar Hiasan

Seorang suri rumah berputih mata apabila komisen jualan pakej hotel tidak diperolehi malah wang berjumlah RM126,490 yang dilaburkan lebur begitu sahaja.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan mangsa berusia 44 tahun berhubung perkara itu, Jumaat lalu.



Katanya, wanita itu mendakwa telah terpedaya oleh kenalan di media sosial yang menawarkan kerja sambilan palsu secara dalam talian dengan menjanjikan pulangan lumayan.

“Mangsa mula mendaftar melalui pautan yang diberi suspek pada awal Mei untuk menjual pakej bilik hotel yang tertera di laman web terbabit selain perlu membuat pembayaran modal.

“Mangsa dijanjikan komisen hingga 15 peratus daripada harga pakej yang berjaya dijual manakala komisen 10 peratus pula sekiranya berjaya menjual pakej hotel kurang lima bintang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Mohd. Sohaimi, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah membuat 17 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke enam akaun berbeza bermula 17 hingga 28 Mei dengan keseluruhan berjumlah RM126,490 sebagai modal pelaburan dan bayaran cukai keuntungan.



“Pada mulanya mangsa berjaya menjual pakej hotel sehingga memperolehi komisen melebihi 100 peratus nilai modal yang dikeluarkan menyebabkan mangsa menggandakan lagi jumlah modal.

“Wanita itu hanya sedar ditipu apabila tidak berjaya mengeluarkan wang komisen diterima, sebaliknya suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button