Perbicaraan kes menghasut Che’gu Bard bermula 26 November

Oleh – Syeikh Baran


Perbicaraan kes menghasut Che'gu Bard bermula 26 November
Badrul Hisham Shaharin

Perbicaraan kes Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard yang berdepan pertuduhan menghasut yang akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di laman Facebook miliknya akan bermula 26 November ini di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan tarikh perbicaraan pada 26 dan 27 November selepas Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kes itu kepada pembelaan.



“Pihak pendakwaan akan mengemukakan lima saksi,” katanya pada prosiding yang turut dihadiri oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili bekas Ketua PKR cabang Rembau itu.

Kalmizah turut memohon tarikh lain untuk serahan dokumen bagi pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang akan merosakkan nama baik Sultan Ibrahim oleh Badrul Hisham dan mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan semula kes.

Badrul Hisham, 45, didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya di Taman Bukit Cheras di sini, pada jam 12.15 tengah hari 6 April lepas mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di sini pada jam 6 petang 22 Januari lepas mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Terdahulu, peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo, memaklumkan bahawa pihaknya akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan menghasut untuk mendatangkan kebencian terhadap Sultan Ibrahim.

Siti Aminah kemudian menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu keputusan representasi berkenaan.

Wan Muhammad Azri, 41, yang juga bekas Exco Pemuda UMNO, didakwa menerbitkan kenyataan bersifat menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini pada jam 12 tengah hari 29 April lepas mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button