Peras ugut wanita, dua rakan didenda RM7,000

Oleh – Syeikh Baran


Peras ugut wanita, dua rakan didenda RM7,000
Gambar Hiasan

Dua lelaki masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana memeras ugut seorang wanita supaya menyerahkan wang RM10,000 kepada mereka, bulan lepas.

Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Chun Heng, 29, dan Mohd Shaharom Abd Karim, 43, selepas mereka mengaku bersalah melakukan pemerasan itu dengan mendatangkan ketakutan kepada Gan Hui Ching, 33, di Jalan 2/142A Off Jalan Cheras di sini pada jam 2 pagi, 2 Jun lepas.



Pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan Chun Heng dan Mohd Shaharom, masing-masing bekerja sebagai kontraktor penyelenggaraan dan mekanik supaya menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh namun peguam Tan Kian Peng dan Nicholas Cheoh memohon hukuman ringan berbentuk denda kerana pengakuan kedua-dua tertuduh menjimatkan kos serta masa mahkamah. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button