Penganggur pukul kepala pelanggan pasar raya dipenjara 9 bulan

Oleh – Syeikh Baran


Penganggur pukul kepala pelanggan pasar raya dipenjara 9 bulan
Abdullah Zubair (baju lokap ungu) diperintah menjalani hukuman penjara sembilan bulan kerana memukul pelanggan pasaraya. FOTO Alias Abd Rani

Penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini dipenjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan memukul kepala dua pelanggan di sebuah pasar raya, Sabtu lalu.

Tertuduh, Abdullah Zubair Abdullah, 37, yang berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.



Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 47 tahun di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Parit Raja, di sini, pada 6.30 petang, 6 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perkara sama terhadap seorang lagi pelanggan berusia 22 tahun di lokasi dan tarikh sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua mangsa dengan seorang daripada mereka sedang memasukkan barang ke dalam but kereta didatangi tertuduh.



Tertuduh secara tiba-tiba memukul kepala kedua-dua mangsa menyebabkan kecederaan ringan, sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Sri Gading.

Lelaki yang masih bujang sebelum ini pernah dipenjara atas kesalahan berkait kes dadah dan memiliki bahan terlarang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili Kamarulariffin Nordin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama, manakala lima bulan bagi pertuduhan kedua dan semua hukuman berjalan serentak.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button