Pemandu lori dipenjara 12 bulan, denda RM2,000 curi Proton Wira

Oleh – Syeikh Baran


Pemandu lori dipenjara 12 bulan, denda RM2,000 curi Proton Wira
Mahkamah Majistret Tampin

Seorang pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan didenda sebanyak RM2,000, di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan mencuri sebuah kereta di Gemas, minggu lalu.

Tertuduh, M. Sathia Muathy, 34, berasal dari Alor Gajah, membuat pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.



Kartini turut menetapkan hukuman enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah mencuri sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam milik seorang lelaki berusia 51 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah premis elektronik di Gemas, kira-kira pukul 5.30 petang, 4 Julai lalu.

Berdasarkan fakta kes, kenderaan berkenaan dicuri semasa anak pemilik kenderaan sedang mengambil barangan di kedai bagi tujuan penghantaran.



Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan selepas didapati gagal mematuhi perintah sekatan orang pengawasan polis, di Chembong, Rembau, lebih empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zamree Abdullah, 34, tidak berada di tempat sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah kira-kira pukul 10.30 malam, di sebuah hotel di Chembong, pada 6 Februari 2020.

Tertuduh tidak boleh meninggalkan Mukim Chembong tanpa kebenaran bertulis oleh Ketua Polis Negeri Sembilan dari 4 Februari 2020 sehingga 3 Februari 2022.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button