10 warga asing ditahan, bergaduh kerana tunggakan rumah sewa

Oleh – Syeikh Baran


10 warga asing ditahan, bergaduh kerana tunggakan rumah sewa
Gambar Hiasan

Gara-gara bergaduh berkaitan tunggakan bayaran rumah sewa, seramai 10 lelaki warga asing ditahan polis setelah dipercayai terlibat dalam kejadian mengugut dan memukul di Taman Ehsan, Kepong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 46 tahun mengalami sakit dada sehingga perlu mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.



Katanya, setelah mangsa membuat laporan polis pada pukul 10.38 malam hari yang sama, seramai 10 lelaki warga asing berusia 19 hingga 46 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham berkaitan tunggakan bayaran sewa rumah kongsi sehingga menyebabkan mangsa diugut dan dipukul di dada oleh seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun.

“Rumah kongsi yang dimaksudkan adalah rumah yang lazimnya diduduki oleh warga asing yang biasa dilihat di kawasan pembinaan. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa bukan pekerja pembinaan.

“Mangsa tinggal di rumah kongsi tersebut bersama warga asing yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Tambah Noor Ariffin, permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat di Mahkamah Selayang hari ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu tular sebuah video dan hantaran di Facebook mengenai perbalahan beberapa warga asing dipercayai Indonesia bersama lelaki warga tempatan mengenai tunggakan rumah sewa.

Di dalam video berdurasi 8.36 minit itu, lelaki warga asing didakwa mengugut dan menumbuk bahagian dada mangsa gara-gara perselisihan faham tersebut.

Difahamkan, keluarga mangsa terpaksa menetap di rumah terbabit bersama isteri dan tiga lagi anaknya bagi tempoh sementara waktu dan membayar sewa sebanyak RM60 sebulan kepada warga asing berkenaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button