Kakitangan bank disyaki ‘songlap’ lebih RM2 juta dalam akaun simpanan

Oleh – Syeikh Baran


Kakitangan bank disyaki ‘songlap’ lebih RM2 juta dalam akaun simpanan
Ramli pada sidang akhbar kejayaan JSJK memberkas beberapa kes di Menara KPJ Kuala Lumpur hari ini. – Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

Polis merekodkan satu lagi kes kehilangan wang daripada akaun bank melibatkan nilai kerugian melebihi RM2 juta dikesan berlaku di sebuah bank di Kuala Kangsar, Perak, 9 Julai lalu.

Laporan yang diterima daripada kakitangan bank itu memaklumkan pihaknya mendapati seorang kakitangan di bank yang sama telah melakukan penyelewengan.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan berkenaan memaklumkan terdapat pindahan wang dari akaun simpanan tetap milik pelanggan ke akaun pihak ketiga oleh kakitangan bank tersebut.

Katanya, kegiatan kakitangan itu hanya terbongkar apabila dua pemilik akaun simpanan tetap terbabit hadir ke bank untuk membuat pengeluaran wang dari akaun simpanan tetap pada 27 Jun lalu.

“Setelah semakan dibuat, didapati sebahagian daripada sijil akaun simpanan tetap milik mereka telah ditutup.

“Pelanggan-pelanggan tersebut menafikan pernah membuat penutupan atau mengeluarkan wang daripada akaun simpanan tetap milik mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.



Tambah Ramli, berdasarkan siasatan oleh pihak bank, seorang kakitangan mereka disyaki telah membuat pengeluaran wang tersebut.

Kata beliau, wang berkenaan kemudian didepositkan ke beberapa akaun yang berbeza.

“Bagaimanapun, kakitangan tersebut yang juga suspek utama kes ini telah meninggal dunia pada 5 Julai lalu kerana membunuh diri.

“Walaupun suspek utama telah meninggal dunia, siasatan kes ini tetap diteruskan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” jelasnya.



Ramli menegaskan, institusi perbankan perlu melaksanakan siasatan terperinci terhadap transaksi perbankan yang tidak dibenarkan seperti saranan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Kata beliau, pihak bank tidak seharusnya menyalahkan pelanggan atas kerugian yang dialami daripada penipuan perbankan dalam talian melainkan terdapat bukti jelas pelanggan gagal melindungi butiran keselamatan peribadinya.

“Terdapat pendedahan di akhbar tempatan melaporkan seorang mangsa keldai akaun bahawa dia telah dibawa oleh sindiket ke beberapa bank untuk membuka akaun tanpa banyak persoalan oleh pegawai bank bertugas.

“Ringkasnya, terdapat pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket untuk memudahkan pembukaan akaun oleh individu yang kononnya pemilik syarikat keldai bagi membolehkan wang penipuan disalurkan ke akaun syarikat tersebut,” ujarnya.



Justeru itu, beliau berkata, satu peruntukan baharu yang bakal dikuatkuasakan bagi JSJK menyiasat dan mendakwa pegawai bank yang terlibat dengan aktiviti sindiket penipuan.

“Sebagai langkah tambahan, PDRM menyarankan agar pihak bank memperkemaskan sistem mereka demi memastikan kepentingan pelanggan sentiasa terpelihara,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button