Bayar RM250, dapat seekor ayam setiap bulan

Oleh – Syeikh Baran


Bayar RM250, dapat seekor ayam setiap bulan
Antara kenderaan mewah yang dirampas susulan penahanan 11 individu terbabit pelaburan ayam kampung, 26 Jun lalu. – Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

Menyakinkan pelabur dengan program ternak haiwan minimum RM250 dan menjanjikan pulangan sebanyak RM13 sebulan atau boleh ditukar dengan seekor ayam kampung.

Demikian helah sindiket penipuan pelaburan diusahakan 11 individu sebelum dibongkarkan penguat kuasa dalam serbuan di beberapa negeri, 26 Jun lalu.Sindiket disebalik nama ‘Pertubuhan Amal Kita Kinta’ itu tumpas dalam serbuan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu dan Labuan.



Kesemua suspek ditahan berusia 38 hingga 56 tahun memainkan peranan sebagai pengasas, pengarah, setiausaha, kerani, ejen dan sukarelawan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita.

Katanya, polis telah merampas 13 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM2.9 juta, wang tunai RM1,000, 13 utas rantai emas, cincin emas (2), telefon bimbit (20), tablet (4) dan lain-lain.

“Tindakan sitaan turut dilaksanakan membabitkan 2,143 ekor kambing biri-biri baka shami serta 34 akaun bank dan unit trust dengan nilai mencecah RM6.5 juta.“Berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi sejak awal tahun 2023 dengan menawarkan pelaburan kononnya berkaitan perniagaan ayam kampung,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.



Mengulas lanjut, Ramli berkata sindiket tersebut berjaya ditumpaskan hasil kerjasama dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Kata Ramli, program perniagaan ini menawarkan pelaburan minimum RM250 dan dijanjikan pulangan sebanyak RM13 sebulan atau boleh ditukar dengan seekor ayam kampung.

Tambahnya, wang pelaburan itu akan dimasukkan ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama pertubuhan terbabit.“Bagaimanapun, bermula September 2023, pelabur-pelabur tidak lagi menerima keuntungan yang dijanjikan,” ujarnya.

Jelas beliau, sehingga kini, 85 laporan polis telah diterima di seluruh negara melibatkan skim pelaburan ini dengan nilai kerugian mencecah RM3.2 juta.



Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button