Hanya 65 syarikat boleh kutip derma

Hanya 65 syarikat boleh kutip derma

Hanya 65 syarikat boleh kutip derma
Hanya 65 syarikat boleh kutip derma

Umpama satu trend pada masa kini apabila ramai individu serta pihak tertentu memulakan inisiatif pengumpulan dana awam untuk tujuan kebajikan atau membantu orang lain.

Namun wujud persoalan berhubung tahap ketelusan penyampaian sumbangan berkenaan kepada golongan sasar seperti didedahkan Harian Metro semalam.

Persoalan ini susulan daripada beberapa kes yang membabitkan pihak tertentu terbabit dengan penyalahgunaan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Bagi memberikan penjelasan lanjut, Kafe Ahad menemu bual Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, FUZIAH SALLEH bersama wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN.



Boleh Yang Berhormat (YB) terangkan mengenai kutipan dana awam oleh Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ)?

Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) adalah syarikat awam seperti yang ditakrifkan dalam Seksyen 11(2) Akta Syarikat 2016.

Syarikat ini tidak memiliki saham seperti syarikat konvensional. SBMJ tidak mempunyai modal saham, tetapi sebaliknya dijamin oleh ahli-ahli yang bersetuju untuk membayar suatu jumlah yang tetap sekiranya syarikat tersebut dibubarkan.

SBMJ adalah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan. Matlamat utamanya adalah untuk mempromosikan objek tertentu yang disenaraikan dalam Seksyen 45(1) Akta Syarikat 2016 termasuk rekreasi, memajukan perdagangan, industri, seni, sains, keagamaan atau atau objek-objek lain yang bukan bermatlamatkan keuntungan.

Menurut Seksyen 45(2)(a) & (b) Akta Syarikat 2016, syarikat tidak dibenarkan untuk membayar sebarang dividen kepada ahli-ahli. Sebaliknya, keuntungan atau pendapatan yang diperoleh perlu digunakan semata-mata untuk mencapai objek syarikat seperti yang tercatat dalam perlembagaannya.



Sehingga 31 Mei 2024, terdapat 2,949 SBMJ diperbadankan di dalam daftar SSM.

Semakan daripada laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), SMBJ yang dibenarkan untuk membuat kutipan awam adalah hanya 65 syarikat. Apa kriteria dan cara permohonan?

Permohonan untuk memperbadankan SBMJ boleh dilakukan dengan mengemukakan permohonan rasmi kepada SSM mengikut Senarai Semak Enam Garis Panduan SBMJ.

Permohonan ini juga perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 45(5) Akta Syarikat 2016 serta Perenggan 23(d) Garis Panduan SBMJ. Garis Panduan SBMJ boleh diakses di portal SSM, www.ssm.com.my.

Senarai 65 SBMJ yang dipaparkan di laman rasmi SSM pada ketika ini adalah senarai SBMJ yang telah mendapat kelulusan untuk memulakan aktiviti mengumpul sumbangan daripada orang ramai.



Setiap kelulusan hanya berkuatkuasa selama satu tahun (12 bulan) daripada tarikh kelulusan diberikan.

Mengikut senarai berkenaan, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terkenal tiada dalam senarai dibenarkan membuat kutipan. Adakah NGO ini tidak memperbaharui kebenaran meminta derma atau bagaimana?

Senarai SBMJ yang diluluskan untuk mengumpul sumbangan daripada orang ramai yang dipaparkan di laman rasmi SSM hanya merujuk kepada SBMJ yang dikawal selia oleh SSM saja.

Di Malaysia, selain Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), NGO-NGO lain termasuk NGO yang mengumpul sumbangan daripada orang ramai juga boleh didaftarkan di bawah beberapa agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA).

Hanya 65 syarikat boleh kutip derma
FUZIAH SALLEH

Adakah ia satu kesalahan sekiranya membuat kutipan awam tanpa kebenaran. Kesalahan ini adalah di bawah seksyen apa dan apakah tindakan yang boleh dikenakan?

Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya SBMJ melakukan aktiviti mengumpul sumbangan daripada orang ramai tanpa mendapatkan kebenaran dari Menteri atau Pendaftar.



Semua SBMJ perlu mematuhi Perenggan 23(d) dalam Garis Panduan SBMJ yang melarang pengumpulan sumbangan dari orang ramai tanpa kebenaran.

Kesalahan ini adalah berkaitan kegagalan mematuhi Garis Panduan SBMJ dan tindakan di bawah Seksyen 20E Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 boleh diambil ke atas SBMJ.

Apakah kesalahan yang boleh diambil tindakan jika individu membuat kutipan dana secara haram. Adakah cas pengurusan sehingga 30 peratus dibenarkan?

Kesalahan ini adalah di luar bidang kuasa SSM. Kutipan derma oleh individu adalah tertakluk kepada Akta Kutipan Derma dari Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 yang mana ia di bawah kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SBMJ tertakluk kepada klausa-klausa yang dinyatakan di dalam perlembagaannya. Bagi hal dalaman berkaitan pengurusan harian dan keputusan dalaman SBMJ, lembaga pengarah perlu mematuhi klausa-klausa yang dinyatakan di dalam perlembagaan berkenaan.



Pempengaruh media sosial turut membuat kutipan dana dan wang masuk ke akaun syarikat mereka dan semakan di dalam SSM juga mendapati syarikat mereka tidak berdaftar. Adakah SSM ambil maklum mengenai perkara ini?

SSM mengawal selia dan memberikan kelulusan atau kebenaran untuk aktiviti kutipan derma atau sumbangan kepada SBMJ yang berdaftar, bukan kepada individu peribadi. Jika seseorang individu membuat kutipan derma atas kapasiti peribadi, ia mungkin melanggar peraturan yang dikuatkuasakan oleh agensi lain.

Kesalahan seperti ini adalah di luar bidang kuasa SSM. Kutipan derma oleh individu adalah tertakluk kepada Akta Kutipan Derma dari Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 yang mana ia di bawah kuasa PDRM.

Orang awam digalakkan membuat aduan kepada SSM sekiranya mengesyaki kesalahan membabitkan syarikat yang melanggar peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 dan lain-lain akta yang ditadbir oleh SSM.

Apakah nasihat kepada mereka yang ingin membuat kutipan derma?

SBMJ yang berdaftar dengan SSM dinasihatkan untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada SSM untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri atau Pendaftar berdasarkan Senarai Semak 6, Garis Panduan SBMJ sebelum menjalankan aktiviti mengumpul sumbangan daripada orang ramai.



Adalah menjadi kesalahan bagi SBMJ menjalankan aktiviti mengumpul sumbangan daripada orang ramai seperti membuat pelawaan kutipan melalui laman sesawang, media sosial, media cetak, hebahan awam, pempengaruh, atau lain-lain bentuk pelawaan tanpa kelulusan daripada Menteri atau Pendaftar seperti dinyatakan di atas.

Hanya 65 syarikat boleh kutip derma

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Krisis kepimpinan Perikatan Nasional semakin parah.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button