Sentuhan ‘kuda tua’ masih berbisa

Sentuhan ‘kuda tua’ masih berbisa

Sentuhan ‘kuda tua’ masih berbisa
SUAREZ meraikan kejayaan menewaskan Kanada pada aksi tempat ketiga dan keempat hari ini. – AFP

CHARLOTTE – Uruguay sekali lagi terpaksa mengharapkan sentuhan emas penyerang veterannya, Luis Suarez apabila muncul wira negara itu untuk mengesahkan kejayaan tempat ketiga Copa America 2024 dengan mengecewakan Kanada hari ini.

Penggempur berusia 37 tahun itu memainkan watak penting buat La Celeste dalam kemenangan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 dengan Kanada sepanjang tempoh 90 minit aksi penentuan tersebut di Stadium Bank of America.

Menariknya, Suarez tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama sebelum pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa memutuskan untuk membawa masuk penyerang Inter Miami itu menggantikan bintang Liverpool, Darwin Nunez pada minit ke-46.



Kemasukannya bagi menambah sengat dan pengalaman di bahagian jentera serangan ketika kedudukan terikat 1-1 selepas Uruguay membuka tirai jaringan menerusi Rodrigo Bentancur seawal minit kelapan sebelum Kanada menyamakan kedudukan melalui Ismael Kone pada minit ke-22.

Ternyata, ia adalah tindakan tepat apabila Suarez kembali menghidupkan peluang Uruguay dan mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti selepas meledak gol penyamaan 2-2 di penghujung permainan, memadam jaringan kedua Kanada menerusi Jonathan David pada minit ke-80.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Sampai Bila Politikus Mahu Hidangkan Cerita Politik Yang Membosankan Kepada Rakyat?




Ketika mengambil sepakan penalti, Suarez tiada masalah untuk menyempurnakannya sebelum percubaan kapten Kanada, Alphonso Davies terkena palang sekali gus memastikan kemenangan 4-3 buat Uruguay pada penentuan tersebut.

Kejayaan memenangi tempat ketiga secara tidak langsung mengubati kekecewaan Uruguay selepas gagal ke pentas final musim ini selepas tewas 0-1 kepada Colombia di separuh akhir sebelum ini.

Ia juga adalah pencapaian terbaik buat Uruguay dalam empat penyertaan terakhir di pentas Copa America sejak mereka menjuarai edisi 2011 di Argentina.

“Saya fikir anda sendiri sudah percaya bahawa Uruguay adalah salah satu daripada tiga pasukan terbaik dalam kejohanan ini.



“Secara peribadi saya merasakan Uruguay sepatutnya sentiasa beraksi di peringkat tertinggi dan bermain dengan lebih baik walaupun saya akui kami tidak beraksi bagus hari ini meskipun menang.

“Saya puji taktikal jurulatih pasukan lawan kerana menjadikan perlawanan ini begitu sukar. Malah, beliau juga bijak membuat pertukaran tetapi saya lega kerana kemenangan kami,” kata Bielsa. – AGENSI

Sentuhan ‘kuda tua’ masih berbisa

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :



Krisis kepimpinan Perikatan Nasional semakin parah.

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button