Juru hias jadi tokan kecundang, dadah bernilai lebih RM77,000 dirampas

Oleh – Syeikh Baran


Juru hias jadi tokan kecundang, dadah bernilai lebih RM77,000 dirampas
Antara dadah yang berjaya dirampas polis pada Khamis lalu. Foto oleh PDRM

Tokan dadah yang juga juru hias majlis akhirnya kecundang apabila ditahan polis di sekitar Cheras, di sini, pada Khamis lalu seterusnya menjurus kepada penemuan dadah jenis kanabis dan erimin 5 yang bernilai RM77,947.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Cheras menahan suspek tempatan berusia 40 tahun kira-kira pukul 12 tengah hari di sekitar Cheras, di sini.



Katanya, pengedar dadah itu dipercayai bergerak aktif di sekitar daerah Cheras sejak awal tahun ini selain menjadikan kondominium mewah yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah.

“Ketika ditahan sekitar Cheras, suspek ditahan bersama kanabis seberat 22.675 kilogram (kg) dan 0.027 kg erimin 5.

“Suspek didapati positif dadah benzo. Kita merampas wang tunai RM 3,000 dan sebuah kereta Honda Insight.

“Lanjutan dari tangkapan pertama, BSJND Cheras membuat serbuan di sebuah kondominium di sekitar Kajang seterusnya menemukan 4.29 kg kanabis,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Dalam serbuan itu, pihaknya merampas dua buah kenderaan jenis Toyota Alphard dan sebuah Mini Cooper yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM 80, 947.

“Kondominium mewah yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah adalah untuk mengaburi dan menyukarkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

“Bekalan dadah dipercayai diperolehi daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan masih dalam siasatan lanjut.

“Suspek bekerja sendiri sebagai juru hias majlis turut menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama,” ujarnya.



Suspek direman selama enam hari sehingga 17 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan menjangkau seramai 5,000 pengguna dadah.

“Orang awam agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dan menghubungi IPD Cheras di talian 03-92050222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 sekiranya mempunyai sebarang maklumat,” pesannya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button