Bukit Bintang kena gempur

Oleh – Syeikh Baran


Bukit Bintang kena gempur
Antara premis menawarkan perkhidmatan urut yang digempur imigresen di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Seramai 56 warga asing ditahan dalam serbuan di lima buah premis yang menawarkan perkhidmatan urut di Bukit Bintang, di sini pada Rabu lalu.

Operasi bermula pada pukul 9.30 malam itu dijalankan pegawai pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.



Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan penguatkuasaan diambil susulan aduan orang ramai berhubung warga asing disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral di sebalik perkhidmatan rumah urut.

Kata beliau, warga asing tersebut disyaki akan berada kawasan tumpuan pelancongan tanpa pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Seramai 91 individu terdiri daripada 20 lelaki dan 41 wanita warga asing serta 30 warga tempatan diperiksa dalam operasi ini.

“Seramai 56 warga asing terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Thailand dan Sudan berusia 20 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.



“Turut ditahan, dua warga tempatan dipercayai penjaga premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, cabaran dihadapi pasukan serbuan apabila lokasi tersebut merupakan premis kedai dua tingkat dan berada di tengah pusat bandar.

“Ini kerana laluan masuk ke kawasan premis sesak dengan kehadiran pelancong dan kenderaan sekali gus menyukarkan pergerakan pasukan operasi masuk ke sasaran,” ujarnya,

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-peraturan Imigresen 1963..



Sumber -KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button