Bapa dua anak tidak mengaku guna wang syarikat RM96,780

Oleh – Syeikh Baran


Bapa dua anak tidak mengaku guna wang syarikat RM96,780
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. – Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

Seorang bekas pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalah guna wang milik sebuah syarikat berjumlah RM96,780, 10 tahun lalu.

Tertuduh, Kamaruzzaman Kamaludeen, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.



Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh selaku pengarah Syarikat Northern Petrochem Sdn. Bhd. telah dengan curang menyalah guna harta berjumlah RM5,600, RM920, RM8,800 dan RM81,460 milik Syarikat Natureceuticals Sdn. Bhd.

Bapa dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu antara 5 Disember 2014 sehingga 27 Mei 2015 di empat lokasi berbeza iaitu di RHB Bank Bhd, Taman Inderawasih, Perai, Malayan Bank Bhd, Pusat Perniagaan Rozhan, Alma, AmBank (M) Bhd, Pusat Bandar Seberang Jaya dan Public Bank Bhd, Jalan Jelutong.

Bagi keempat-empat kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rasyidah Murni Adzmi serta Natrah Fareha Rahmat memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.



Peguam, Luqman Mazlan dan Irzan Iswatt yang mewakili Kamaruzzaman kemudian merayu jaminan lebih rendah atas alasan tertuduh menghidap buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis selain perlu menanggung isteri, dua anak serta ibunya yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 untuk keempat-empat pertuduhan beserta syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Hakim Zulhazmi kemudiannya menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button