Warga emas maut tercekik biji rambutan di Gerik
Oleh – Syeikh Baran
Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas selepas tercekik biji buah rambutan di rumahnya di Felda Lawin Utara, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, maklumat kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh Klinik Kesihatan Lawin pada pukul 8.30 malam.
Katanya, anggota polis segera ke klinik itu untuk pemeriksaan dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ke atas tubuh mangsa.
“Hasil temu bual anak perempuan mangsa berusia 46 tahun, dia memberitahu yang ibunya mengalami sesak nafas ketika dibawa masuk dari beranda ke dalam rumah sekitar pukul 7 petang.
“Mangsa kemudian di bawa ke klinik itu untuk pemeriksaan sebelum pasukan perubatan mendapati terdapat sesuatu yang terlekat pada kerongkong wanita itu dan mendapati ia merupakan biji buah rambutan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa segera diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh pegawai perubatan namun disahkan meninggal dunia.
Katanya, bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat wanita itu di Unit Forensik Hospital Gerik mendapati mangsa mati akibat sesak nafas.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Jenazah mangsa telah pun dituntut keluarganya untuk urusan pengkebumian,” ujar beliau.
Sumber – KOSMO! ONLINE