Telefon pintar ditemui dalam parit, dipercayai milik Nur Farah Kartini

Oleh – Syeikh Baran


Telefon pintar ditemui dalam parit, dipercayai milik Nur Farah Kartini
Pasukan pencarian menunjukkan telefon pintar yang ditemui di dalam sebuah parit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, hari ini.

Telefon bimbit dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah, 25, telah ditemukan dalam sebuah parit Kampung Sri Kledang, di sini, hari ini.

Difahamkan bahan bukti tersebut ditemukan kira-kira 12.20 tengah hari selepas satu jam operasi pencarian dilakukan Unit Skuba (Unit Forensik) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibantu pihak bomba.



Turut difahamkan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan akan ke lokasi kejadian pada pukul 1 petang.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 26 tahun itu dilihat dibawa ke lokasi kejadian dipercayai bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha mengesan barang bukti yang berada di sebuah parit di lokasi kejadian.

Suspek yang juga anggota polis di sebuah balai di Perak dilihat berpakaian baju lokap berwarna oren lengkap bergari selain dikawal ketat beberapa anggota polis ke lokasi pencarian kira-kira pukul 11.40 pagi.

Kira-kira lima minit kemudian, suspek dibawa semula ke kenderaan polis jenis Proton Preve dan operasi mencari bahan bukti diteruskan.



Terdahulu, Kosmo! melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai, ditemui Isnin lalu dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

11 Julai lalu, mangsa berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan hilang susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas dikatakan menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim pada sehari sebelum.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button