Bekas perunding kesihatan didenda RM3,500 ceroboh bilik bedah Hospital Ampang

Oleh – Syeikh Baran


Bekas perunding kesihatan didenda RM3,500 ceroboh bilik bedah Hospital Ampang
Tertuduh yang menutup muka dengan baju ketika dibawa ke Mahkamah Majisret Ampang hari ini.

Seorang bekas perunding kesihatan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh bilik bedah Hospital Ampang untuk mengambil bius bagi kegunaan diri sendiri minggu lalu.

Majistret Normaizan Rahim menjatuhkan hukuman denda itu terhadap tertuduh yang berusia 33 tahun selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.



Sekiranya denda gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang menghidap penyakit depresi itu didakwa telah menceroboh masuk ke dalam bilik bedah Hospital Ampang tanpa kebenaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital Ampang di sini pukul 3.05 pagi pada 9 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara boleh sampai tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.



Terdahulu peguam Ungku Ikram Athari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan iaitu denda dengan alasan anak guamnya mengalami kemurungan, skizofrenia dan gangguan keperibadian ganda (multiple personality disorder).

“Pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah. Selepas kejadian ini, tertuduh telah kehilangan kerja namun, pada masa perlu menanggung adik beradik.

“Tertuduh juga mengalami penyakit depresi (kemurungan) sejak tahun 2019 dan kini sedang mendapat rawatan di hospital. Justeru sekiranya dibenarkan, pihak pembelaan memohon satu bon berkelakuan baik diberikan kepada tertuduh,” kata peguam itu.

Rayuan lanjut turut menyatakan, ubat-ubatan yang telah diambil tertuduh ketika kejadian sudah dipulangkan.



Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi yang mendengar rayuan itu membantah sekiranya mahkamah memberikan bon berkelakuan baik kerana semasa kejadian tertuduh telah bertindak mengenakan baju bilik bedah untuk masuk ke bilik itu.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button