Lelaki parah ditikam 11 kali rakan serumah, dipercayai bergaduh semasa mabuk

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki parah ditikam 11 kali rakan serumah, dipercayai bergaduh semasa mabuk
Tangkap layar video tular seorang lelaki parah ditikam 11 kali rakan serumah dalam kejadian di Desa Mentari, Petaling Jaya, hari ini.

Seorang lelaki tempatan cedera parah akibat ditikam sebanyak 11 kali sekitar badannya oleh rakan serumah dalam kejadian di Desa Mentari, di sini, hari ini.

Kejadian disedari orang awam sekitar pukul 5.45 pagi tadi dipercayai bermula apabila kedua-dua individu berkenaan bergaduh dalam keadaan mabuk.



Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, maklumat awal diterima terdapat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah rumah di tingkat lima bangunan itu.

“Bertindak atas maklumat, polis telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di bahagian ruang tamu rumah dengan berlumuran darah.

“Mangsa dipercayai ditikam manakala suspek dijumpai dalam keadaan terbaring di tingkat bawah perumahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulnizam, pasukan perubatan daripada Hospital Sungai Buloh telah hadir ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan.



Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat 11 tikaman pada sekitar bahagian badan mangsa.

“Suspek yang dipercayai cuba untuk melarikan diri dengan melompat dari tingkat lima rumah tersebut telah mengalami patah pinggang dan cedera rusuk kanan.

“Ketika kejadian dipercayai kedua-dua individu bergaduh dan dalam keadaan mabuk.

“Mangsa dan suspek telah dirujuk ke pusat perubatan untuk rawatan lanjut,” ujarnya.



Jelas beliau, pihak polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian di lokasi sama.

Sehubungan itu, Shahrulnizam memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button