Mat rempit paling dikehendaki masuk jel

Oleh – Syeikh Baran


Mat rempit paling dikehendaki masuk jel
TERTUDUH diiringi anggota trafik selepas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

Seorang penunggang motosikal yang paling dikehendaki didenda RM5,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), tujuh tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat ketetapan itu selepas tertuduh, Khairul Izuan Kamaruddin, 31, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.



Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati bersalah menunggang motosikal dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain pada pukul 3.45 pagi di Lebuh SPA Stadium Hang Jebat dalam daerah Melaka Tengah, 11 Jun 2017.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda tidak melebihi RM15,000 mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua yang lain menunggang secara membongkok dan memotong secara zig zag bermula dari jejantas Bertam Ulu melalui Lebuh SPA ke Stadium Hang Jebat sebelum berpusing balik ke arah Bertam Ulu.

Tertuduh ditahan di bawah jejantas tersebut, namun menghilangkan diri dan gagal hadir ke mahkamah sejak tujuh tahun lalu sebelum berjaya ditahan semula di Taiping, Perak.



Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Naim Abdul Jalil mencadangkan hukuman setimpal, bagaimanapun tertuduh merayu hukuman ringan kerana terpaksa pulang ke kampung di Taiping pada 2017 bagi menjaga ibu bapanya yang sakit manakala kakaknya orang kelainan upaya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar. Lekaki turut hilang kelayakan untuk mengambil lesen B2 selama lima tahun.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button