Keputusan kes bunuh abang, kakak ipar 1 Ogos depan
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 Ogos depan bagi jatuh hukum kes seorang lelaki warga emas yang didakwa membunuh abang dan kakak iparnya, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Ng Chun Ming, 63, menukar pengakuan tidak bersalah kepada bersalah semalam.
Pengakuan itu dibuat pada hari pertama perbicaraan kes bunuh tersebut yang bermula semalam hingga Jumaat depan.
Sehubungan itu, mahkamah mensabitkan lelaki terbabit atas kesalahan membunuh Ng Chun Hon, 64, dan Ooi Tin Lu, 59, di sebuah rumah di Taman Bercham Aman antara pukul 6.45 petang pada 6 Julai hingga 8.20 pagi, 7 Julai 2022 lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said manakala tertuduh diwakili peguam, Amir Faliq Mohamad Jamil, Afina Abdul Hakim dan Nurhusna Mohd. Tharimazi.
Menerusi laporan media pada 7 Julai 2022, mayat suami isteri berusia 64 dan 59 tahun itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala di ruang tamu rumah.
Mayat kedua-dua mangsa ditemukan oleh abang kepada si mati lelaki pada pukul 8.50 pagi.
Suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga milik kakak iparnya itu bagaimanapun berjaya diberkas di sebuah hotel di Genting Highlands pada pukul 7.45 malam, hari sama.
Suspek ditangkap bersama sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden pembunuhan berkenaan.
Sumber – KOSMO! ONLINE