6 individu sogok penguatkuasa DBKL didenda

Oleh – Syeikh Baran


6 individu sogok penguatkuasa DBKL didenda
Enam tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Fariz Rosadio/Kosmo!

Seramai enam individu termasuk seorang warga asing didenda antara RM6,000 hingga RM10,000 oleh dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberikan rasuah kepada penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan lesen Ali Baba.

Mereka ialah Romzi Abidin, 53, Azhar Abu Bakar, 59 Idrus Muhammad, 38, K.Punithan, 43, Jamaludin Asim, 58, dan Teng Hui, 52, yang merupakan warga China.



Di hadapan Hakim Suzana Hussin tertuduh iaitu Romzi didenda RM8,000 manakala dua lagi tertuduh Azhar dan Idrus masing-masing didenda RM6,000.

Sementara di hadapan Hakim Rozina Ayob tiga lagi tertuduh iaitu Punithan dan Jamaludin Asim didenda RM8,000 manakala Teng Hui didenda RM10,000.

Keenam-enam tertuduh didenda selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang didakwa ke atas mereka.

Sekiranya tertuduh-tertuduh gagal membayar junlah denda itu mereka boleh dipenjara antara tiga minggu dan tiga bulan. Kesemuanya membayar jumlah denda berkenaan.



Mengikut pertuduhan keenam-enam tertuduh didakwa memberi rasuah kepada seorang pembantu penguatkuasa DBKL.

Wang-wang rasuah yang diberi antara RM200 hingga RM500 itu sebagai balasan dan dorongan untuk tidak mengambil tindakan sita dibawah kesalahan seksyen 101 (1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 terhadap premis iaitu atas kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan, menggaji pekerja warga asing dan tidak mempunyai permit sah bekerja bagi warga asing.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa premis di Jalan Pudu dan Jalan Jalan Imbi di sini antara 18 Oktober 2022 hingga 18 Julai 2023.

Justeru, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa Mohamad Ashraf Mustafa dan Afiqah Ab Razak daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kes dan isu lesen Ali Baba.



Bagaimanapun tertuduh-tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dikenakan dengan alasan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.

Mereka yang mengakui akan kesalahan yang dilakukan pada masa turut meminta maaf kepada mahkamah.

Semalam media melaporkan SPRM menahan lima warga tempatan, dua warga asing dan seorang pemastautin tetap kerana disyaki menyogok penguat kuasa sebagai balasan bagi melindungi aktiviti perniagaan warga asing yang menggunakan lesen Ali Baba di ibu negara.

Kesemua suspek membabitkan enam lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan dalam operasi khas Op Star dijalankan SPRM yang turut mendapat kerjasama daripada DBKL.



Dalam operasi itu, antara premis yang diperiksa membabitkan perniagaan kedai runcit, kedai pakaian, kedai aksesori telefon, kedai makan dan kedai gunting rambut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button