Wanita dikecam menari sambil memandu
Oleh – Syeikh Baran
Perbuatan seorang wanita yang selamba menari sambil memandu kenderaan secara melulu dan laju mengundang kecaman orang ramai, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X, wanita itu dilihat sedang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Dia kemudian mengangkat sebelah tangannya daripada stereng dan menari bersama dengan seorang rakannya ketika melintasi sebuah lebuh raya yang menghubungkan bandar Ghaziabad ke New Delhi.
Mereka melakukan aksi berbahaya itu sambil menyanyi dan ketawa. Lebih teruk apabila kedua-dua mereka tidak memakai tali pinggang keledar.
Video itu menjadi tular sehingga menarik perhatian pegawai polis di Uttar Pradesh. Mereka turut mengarahkan polis di Ghaziabad untuk meneliti perkara itu.
“Disebabkan orang (wanita) sedemikian, kemalangan jalan raya semakin meningkat dari hari ke hari,” kata netizen.
“Hanya kerana mereka, nyawa orang lain dalam bahaya,” kata netizen lain. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE