Suami ugut isteri depan pagar rumah didenda RM1,500

Oleh – Syeikh Baran


Suami ugut isteri depan pagar rumah didenda RM1,500
Tertuduh dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

Tindakan lelaki mengugut mahu mencederakan isterinya membawa padah apabila dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, P. Kumar, 49, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret T. Ashvinii.



Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan niat menyebabkan cemas ke atas wanita berusia 43 tahun di hadapan pintu pagar sebuah rumah di Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 2.40 petang, 18 Julai 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap lelaki itu ekoran ugutan jenayah tersebut dilakukan terhadap isterinya sendiri.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis bagaimanapun memohon agar tertuduh dikenakan hukuman denda minimum atas alasan bekerja sendiri dan perlu menanggung tiga anak.

Faustina juga memberitahu mahkamah bahawa tertuduh dan isterinya itu tidak tinggal bersama sejak empat tahun lalu.



Difahamkan, ugutan jenayah tersebut berpunca daripada salah faham antara suami isteri itu berkaitan anak di mana wanita berkenaan meninggalkan pesan melalui WhatsApp supaya lelaki terbabit tidak mengambil kanak-kanak itu di sekolah.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button