Anak bekas senator ditangkap miliki rangkaian judi online
Oleh – Syeikh Baran
Seorang anak bekas senator ditangkap polis atas tuduhan memiliki rangkaian judi online di Bangkok, lapor laman berita The Phuket News hari ini.
Dalam tangkapan semalam, polis turut merampas asetnya yang bernilai lebih 400 juta baht (RM51.9 juta).
Seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram turut diberkas.
Seorang pegawai kanan polis, Mejar Jeneral Atip Pongsiwapai memberitahu sidang akhbar bahawa kedua-dua suspek dikenal pasti sebagai Narayuth, 39 dan Narote @ Hi-So Who, 33.
Kedua-duanya dikehendaki kerana menyediakan perkhidmatan perjudian menerusi internet dan pengubahan wang haram di laman web perjudian.
Tangkapan itu dibuat selepas polis menyerbu tiga rumah mewah di Bangkok berikutan siasatan yang dilakukan selama berbulan-bulan. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE