Empat beranak melecur rumah terbakar ketika tidur
Oleh – Syeikh Baran
Empat daripada enam sekeluarga melecur selepas rumah mereka terbakar semasa sedang tidur dalam kejadian di Kampung Gong Hilir, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, Mohamad Fadhli Mohd Yusoff, 49, bersama isteri, Wan Siti Suhaila Wan Jusoh, 48, dan dua anak mereka, Wan Nabilah Farhana, 18 dan Wan Nadiah Amira, 16 cedera pada beberapa bahagian anggota badan.
Dua lagi anak kepada pasangan suami isteri itu tidak mengalami kecederaan manakala mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Lokman Jusoh berkata, kebakaran itu disedari oleh Mohd. Fadhli selepas terdengar beberapa letupan kecil dari arah ruang tamu rumah berkenaan.
Menurutnya, menyedari api merebak membakar sofa rumahnya, Mohd. Fadhli terus menjerit meminta bantuan adiknya berusia dalam lingkungan 30-an yang tinggal bersebelahan rumah.
Lokman memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.48 pagi sebelum 14 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Api dapat dikawal kira-kira pukul 6.23 pagi dan kebakaran memusnahkan 50 peratus rumah tersebut. Difahamkan, keluarga terbabit baru pulang ke rumah terbabit selepas pulang bertugas di Kuala Lumpur.
Sumber – KOSMO! ONLINE