Guru peluk pelajar, beri alasan mahu rakam gambar

Oleh – Syeikh Baran


Guru peluk pelajar, beri alasan mahu rakam gambar
SUSPEK (tengah) direman lima hari selepas disyaki telah memeluk seorang pelajar perempuan ketika mangsa berehat di bilik sakit sekolah.

Seorang guru lelaki direman lima hari bermula hari ini didakwa memeluk pelajar perempuan yang berehat di bilik sakit sebuah sekolah menengah negeri ini minggu lalu.

Perintah reman sehingga 23 Julai itu dibenarkan Majistret Mahkamah Melaka Mazana Sinin ke atas suspek berusia 46 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.



Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 11 Julai lalu ketika mangsa berusia 16 tahun dikatakan tidak sihat dan mendapatkan rawatan di klinik panel pukul 12 tengah hari sebelum masuk semula ke sekolahnya.

Semasa tiba di sekolah, suspek menyuruh mangsa berehat di bilik sakit sebelum mengunci pintu bilik dan duduk di sebelah pelajar tersebut.

Suspek kemudian memaklumkan mahu merakam gambar sambil memeluk mangsa dan mengulangi perbuatan itu ketika remaja tersebut terbaring di katil.



Mangsa yang ketakutan memberi alasan mahu ke tandas sebelum menceritakan kejadian terbabit kepada rakannya.

Susulan laporan dibuat, polis menahan suspek selepas dia selesai memberi keterangan di Pejabat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Melaka pada pukul 3.15 petang semalam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button