7 anggota PBT ditahan lindungi premis guna lesen ‘ali baba’

Oleh – Syeikh Baran


7 anggota PBT ditahan lindungi premis guna lesen ‘ali baba’
Anggota PBT yang direman akibat terima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis menggunakan lesen ali baba di ibu negara.

Seramai tujuh anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan reman hari ini selepas dipercayai menerima rasuah secara bulanan hampir RM12,000 daripada premis perniagaan beroperasi menggunakan lesen ali baba di ibu negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kuala Lumpur menerusi Op Orange menahan kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an di sekitar ibu negara antara pukul 8.30 hingga pukul 11 pagi semalam.



Menurut sumber, Majistret Amira Abd Aziz membenarkan lima anggota penguat kuasa berkenaan direman selama lima hari sehingga 27 Julai ini.

Sementara itu, dua lagi anggota penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga 29 Julai selepas permohonan di buat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.

“Menerusi risikan dijalankan SPRM sejak enam bulan lalu, kesemua penguat kuasa yang ditahan ini disyaki telah melindungi premis-premis haram yang beroperasi secara tidak sah dan menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan.

“Wang rasuah yang diterima ini sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kepada premis-premis berkenaan yang bukan sahaja menggunakan lesen ali baba, sebaliknya kerana kesalahan menggajikan warga asing sebagai pekerja selain beroperasi menggunakan lesen yang berbeza,” katanya.



Menurut sumber itu lagi, susulan tangkapan terhadap kesemua suspek, SPRM turut menyita wang kira-kira RM40,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, seorang suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button