Lelaki kerasukan, mengaum seperti harimau selepas ditahan polis
Oleh – Syeikh Baran
Seorang penunggang motosikal mempamerkan aksi aneh seolah-olah dirasuk selepas dia ditahan polis kerana melanggar peraturan jalan raya, lapor portal berita Okezone semalam.
Menurut Ketua Unit Trafik Polis Karawang, Inspektor Anwar, lelaki tidak memakai baju itu pada awalnya ditahan kerana melanggar isyarat lampu merah di Jalan Wirasaba, Karawang Timur, dalam wilayah Jawa Barat semalam.
Dia juga tidak memakai topi keledar, menyebabkan seorang anggota yang berada di kawasan itu menahannya.
Namun, selepas disuruh berhenti, pemuda itu marah-marah dan memaki hamun polis trafik tersebut.
“Lelaki itu marah-marah ketika disuruh berhenti dan terus melarikan diri. Polis mengejarnya sebelum berjaya menghentikan motosikalnya,” kata Anwar.
Tambah Anwar, selepas dihentikan kali kedua, lelaki tersebut bersikap seperti orang dirasuk dan mula duduk di atas meja berhampiran sambil mengaum seperti harimau.
Anwar berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada tindakan itu sengaja dilakukan bagi mengelak daripada disaman atau merupakan kejadian sebenar.
Lelaki tersebut akhirnya dibawa ke balai polis terdekat untuk siasatan. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE