Netizen gembira kes bunuh Zulfarhan, culik Albertine selesai

Oleh – Syeikh Baran


Netizen gembira kes bunuh Zulfarhan, culik Albertine selesai
Netizen gembira kes bunuh Zulfarhan, culik Albertine selesai.

Hari ini dua kes besar membabitkan kematian bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain dan kehilangan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui berjaya diselesaikan.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati rata-rata netizen meluahkan rasa syukur selain berterima kasih kepada pihak berkuasa termasuklah badan kehakiman dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menoktahkan kes yang menjadi perhatian umum sejak tujuh tahun lalu.



Dalam pada itu, tanda pagar (#) ‘Alhamdulillah’ menjadi sohor kini di laman X dengan lebih 41,000 penggunaanya sebagai bukti kegembiraan orang ramai yang berasa lega apabila kes terbabit berjaya mendapat keadilan sewajarnya.

Selain itu, (#) PDRM, Zulfarhan, Albertine Leo Jia Hui dan mahkamah turut berada di kedudukan 10 teratas senarai ‘trending’ di Malaysia.

“Terima kasih. Syukur ya Allah atas keadilan buat arwah Zulfarhan,” ucap Hakimi.

“Terbaik pihak berkuasa Malaysia. Kes Zulfarhan berjaya dapat keadilan sewajarnya. Adik Jia Hui selamat dan sekarang kita tumpu kes Farah Kartini pula yang akan selesai tidak lama lagi. Kes-kes lain pun moga ada penyelesaian yang sewajarnya kelak,” kata Yunie.



Kes pertama yang menjadi perhatian hari ini apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhi hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan, tujuh tahun lalu selepas bertindak menekap seterika panas di seluruh badan mangsa.

Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara menghidupkan semula pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Enam tertuduh itu yang berusia 28 tahun ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Sementara itu, bagi kes kedua, ia mula menjadi tumpuan sejak beberapa hari lepas apabila Jia Hui dilaporkan hilang di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri pada Sabtu lalu sekitar pukul 8.30 malam.



Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit berjaya ditemui dalam keadaan selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.

Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar berkata, mangsa ditemui dengan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun sekitar jam 4.45 pagi tadi dan kini berada di hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Mengulas lanjut, Kumar berkata motif penculikan masih dalam siasatan, selain tiada sebarang wang pampasan dituntut.

Ketika ini, lima individu tempatan telah ditahan, di mana empat daripada mereka telah direman selama empat hari, manakala seorang lagi yang baru ditahan pagi tadi akan direman petang ini.



Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button