‘Zulfarhan menggelupur kesakitan, mereka tutup mata’

Oleh – Syeikh Baran


‘Zulfarhan menggelupur kesakitan, mereka tutup mata’
Zulkarnain Idros dan isterinya Hawa Osman menunjukkan gambar berukuran pasport Zulfarhan. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO

Mahkamah Rayuan di sini berpendapat perbuatan enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menekap seterika di seluruh bahagian badan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain menunjukkan mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan dan tanpa ada rasa belas kasihan sesama rakan pengajian.

Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali yang kesemuanya kini berusia 28 tahun.



Ketika membaca penghakimannya selama tiga jam, hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim berkata selepas Zulfarhan diseksa dengan seterika panas tertuduh-tertuduh bertindak menyembunyikan simati untuk mengelakkan perbuatan jenayah mereka diketahui pihak atasan.

“Kami bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh dilakukan “shocks not only the judicial conscience but even the collective conscience of the society.” (mengejutkan bukan sahaja hati nurani kehakiman tetapi juga hati nurani masyarakat”.)

“Kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes-kes yang pernah berlaku (rarest of the rare) melibatkan jenayah kekejaman yang amat merbahaya kepada masyarakat. Perbuatan zalim sebegini harus dihentikan,” kata hakim itu.

Penghakiman lanjut turut menyatakan sebelum di seterika, si mati juga telah dipukul beramai-ramai.



“Meskipun tertuduh-tertuduh nampak dan melihat si mati mengelupur kesakitan, mereka tutup mata, tidak peduli dan terus menekap seterika ke atas hampir keseluruhan badan simati (kecuali di bahagian muka sahaja) sehingga mengakibatkan 90 kesan lecur,” katanya.

Dalam pada itu, hakim Hadhariah turut berkata ibu bapa mana yang tidak merasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat simati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan di dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati.

“Benar kata pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.’ hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancurnya dan luluhnya hati dan perasaan mereka bila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam enam tertuduh yang mana seolah-olah tubuh badan si mati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini, ” kata Hadhariah.

Terdahulu Hadhariah bersama dua lagi hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara memutuskan keenam-enam tertuduh yang sebelum ini dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan dihukum gantung sampai mati.



Ia selepas panel tiga hakim itu membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hakim Hadhariah dalam penghakimannya mendapati tertuduh-tertuduh secara bergilir-gilir telah menekap seterika wap pada seluruh badan simati (Zulfarhan) termasuk kemaluannya selain salah seorangnya pula bersubahat menghasut dan menyuruh lima tertuduh melakukan perbuatan berkenaan.

“Oleh itu kami sebulat suara memutuskan hanya satu hukuman sahaja wajar dijatuhkan kepada keenam-enam tertuduh di mana kesemua tertuduh ini hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Justeru itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara 18 tahun (dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi) terhadap keenam-enam tertuduh dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati,” kata hakim itu.



Sebelum ini, lima penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Pada prosiding itu, 12 lagi bekas penuntut universiti sama diganti dari penjara tiga tahun kepada empat tahun kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.



Dengan keputusan itu, kesemua 12 bekas penuntut berkenaan diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas tiada penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dikemukakan di mahkamah.

Kesemua 12 mereka itu ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd. Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K.Mangai, Solehah Noratikah Ismail dan Joy Jothi Nadrarasan.

Kesemua bekas penuntut UPNM diwakili barisan peguam iaitu Datuk Mohd. Zamri Mohd.Idrus, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Hazman Ahmad, Amer Hamzah Arshad Datuk Seri M. Ramachelvam Datuk Hazman Ahmad, Datuk Zamri Mohd. Idrus dan A.G Kalidas.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.



Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button