Kakitangan bank disyaki seleweng lebih RM2 juta: Cara suspek ceroboh sistem disiasat

Oleh – Syeikh Baran


Kakitangan bank disyaki seleweng lebih RM2 juta: Cara suspek ceroboh sistem disiasat
Gambar Hiasan

Polis masih menyiasat kes kehilangan lebih RM2 juta dalam akaun simpanan membabitkan sebuah bank tempatan di Kuala Kangsar, Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik akaun bank serta di mana wang yang telah dicuri dimasukkan.



“Walaupun suspek utama yang merupakan kakitangan bank berkenaan telah meninggal dunia, siasatan kes ini tetap akan diteruskan.

“Kita perlu siasat bagaimana sistem (perbankan) itu diceroboh dan kita perlu teliti agar kes ini tidak terkubur,” katanya pada sidang akhbar di menara KPJ, di sini, hari ini.

12 Julai lalu, Ramli dilaporkan berkata pihaknya sedang menyiasat kehilangan wang berjumlah lebih RM2 juta daripada dua akaun tetap sebuah bank di Kuala Kangsar di Perak.

Perkara berkenaan disedari pemilik akaun ketika hendak membuat pengeluaran apabila mendapati wang mereka telah dikeluarkan dan akaun ditutup.



Siasatan dalaman oleh pihak bank mendapati salah seorang petugas mereka telah melakukan pengeluaran wang berkenaan bagaimanapun beliau ditemukan meninggal dunia pada 5 Julai lepas.

Dalam kes berasingan, Ramli turut memaklumkan pihaknya mengesan satu bentuk penipuan menggunakan teknik phishing melalui tawaran pembelian barangan terpakai yang diiklankan di media sosial Facebook ‘Eco Recycling’.

Katanya, melalui helah berkenaan, mangsa yang ingin menjual barangan terpakai perlu mendaftar di aplikasi ‘Home Solution’ dan perlu membayar deposit RM10 bagi menempah slot kutipan barangan yang ingin dijual.

“Mangsa kemudian akan dibawa ke paparan laman web perbankan palsu bagi tujuan pembayaran dan selepas memasukkan nama pengguna dan kata laluan web berkenaan tidak dapat diakses,” katanya.



Menurut Ramli pengguna hanya menyedari mereka ditipu selepas mendapati wang daripada akaun mereka dipindahkan ke akaun lain tanpa pengetahuan.

“Sehingga Mei lepas, sebanyak sembilan laporan polis telah diterima dengan kerugian berjumlah RM243,693,” katanya.

Sumber -KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button