Kematian Zulfarhan: Enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati

Oleh – Syeikh Baran


Kematian Zulfarhan: Enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati
Allahyarham Zulfarhan.

Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang sebelum ini dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan, di sini sebentar tadi.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Sebelum ini, lima penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Pada prosiding itu, mahkamah 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang dihukum penjara empat tahun kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan turut kekal tempoh pemenjaraan yang sama.



Kesemua 12 mereka itu ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd. Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Dua lagi hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – KOSMO! ONLINE



 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button